Thursday, August 12, 2010

Harga ayam naik sempena puasa.




Ini terbukti apabila tinjauan yang dibuat di pasar seluruh negara hari ini
mendapati berlaku kenaikan harga ayam antara 30 sen sehingga RM1.30 sekilogram
(kg).




Di ALOR SETAR, harga ayam yang pada kebiasaannya sehingga serendah
RM5.70 satu kg kini mencapai RM7 menyebabkan pengguna merungut.




''Baru-baru ini saya beli baru RM6.50, tapi hari ini naik mendadak kepada
RM7. Saya minta pihak berkuasa buat pemantauan, jangan biar pengguna teraniaya,"
kata Saniah Ahmad, 42, ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar hari ini.




Sementara itu, peniaga yang ditemui pula mendakwa kenaikan harga ayam
berpunca daripada pembekal.


''Saya tiada pilihan dan terpaksa menjual mengikut harga pasaran walaupun
mahal," kata Abdul Shukur Darus, 30.




Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah,
Salleh Ma'amor yang dihubungi berkata, buat masa ini harga ayam ditentukan oleh
pasaran.


''KPDNKK menjangka harga ayam akan mengalami kenaikan sehingga RM1 satu kg
menjelang Ramadan. Bagaimanapun dua minggu menjelang Aidilfitri, ayam akan
dijadikan barang kawalan dan harganya akan terkawal," katanya.




Di KOTA BHARU, harga ayam di Pasar Siti Khadijah dilaporkan telah
dinaikkan sebanyak 40 sen sejak dua hari lalu iaitu menjelang umat Islam
berpuasa dan kini dijual pada harga RM7 satu kg.




Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, beberapa peniaga mengakui
kenaikan tersebut dibuat semata-mata kerana ketibaan Ramadan.




Seorang peniaga, Alimah Abdul Latif, 52, berkata, sebelum ini dia menjual
ayam RM6.60 satu kg dengan harga daripada pemborong ialah sebanyak RM6.30.




''Tetapi dua tiga hari lalu, pemborong naikkan harga ayam kepada RM6.60, kami
sebagai peniaga pun terpaksalah menjual lebih tinggi kalau tidak, tiada untung,"
katanya.




Di PULAU PINANG, tinjauan di Pasar Taman Tun Sardon dan Pasar Bayan
Baru mendapati berlaku kenaikan harga ayam sebanyak 30 sen.




Ayam yang sebelum ini dijual pada harga RM7.20 satu kg telah dinaikkan kepada
RM7.50 pada hari ini.


Di SEREMBAN, Pengarah KPDNKK negeri, Norashiken Ishak berkata, harga
tertinggi bagi satu kg ayam yang siap diproses hari ini adalah RM7.50 berikutan
berlakunya permintaan tinggi pada musim perayaan ini.


Kenaikan sehingga 30 sen berbanding harga sebelum ini masih berada dalam
paras siling antara RM5 hingga RM7.50 satu kg.




Tinjauan di beberapa pasar di Seremban menunjukkan akibat pengaruh bulan
Ramadan dan menjelang perayaan Aidilfitri kelak, ada kecenderungan peniaga
menaikkan harga ke paras maksimum yang dibolehkan iaitu RM7.50 satu kg.




Di MELAKA, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri, Abd. Hafidz A.
Rahim berkata, semua peniaga masih mematuhi arahan dengan menjual ayam pada
harga antara RM6.90 hingga RM7.20 satu kg.


Menurutnya, berdasarkan pemantauan penguat kuasa sejak semalam mendapati
tidak ada laporan berkaitan peniaga menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya.




Di KUANTAN, harga ayam juga masih terkawal apabila ia dijual pada
harga biasa iaitu antara RM6.90 hingga RM7.50 sekilogram.




Tinjauan Utusan Malaysia ke Pasar Besar Kuantan hari ini mendapati
tidak berlaku kenaikan ketara oleh peniaga ayam di premis berkenaan.




Sementara itu, Pengarah KPDNKK Pahang, Mohd. A. Aruwan Ab. Aziz ketika
dihubungi memberitahu, hampir semua kedai runcit dan pasar raya di negeri itu
masih menjual ayam pada harga biasa.




Di JOHOR BAHRU, pemantauan di beberapa pasar di negeri itu mendapati
ayam masih kekal dijual pada harga antara RM6.60 dan RM7 satu kg dan tiada
sebarang kenaikan yang dilaporkan.

No comments:

Post a Comment